t>

Breaking News

Skandal Aircel-Maxis: India Keluar Waran Tangkap Terhadap Ananda, Marshall

Mahkamah di New Delhi, India mengeluarkan waran tangkap terhadap jutawan Malaysia T Ananda Krishnan dan Timbalan Pengerusi Astro All Asia Networks Plc, Ralph Marshall atas dakwaan rasuah melibatkan pembelian sebuah syarikat telekomunikasi di India oleh Maxis.
Mahkamah akan membahagikan isu rasuah lesen telekomunikasi kepada 2 siasatan, iaitu berkaitan 2 rakyat Malaysia dan bekas menteri telekomunikasi India Dayanidhi Maran, lapor Bloomberg.
Biro India Siasatan (CBI) mengeluarkan waran tangkap terhadap hartawan dan Marshall untuk menghadiri prosiding mahkamah berikutan dakwaan terhadap salah guna kuasa oleh Maran.
“Dakwaan serius dibuat terhadap kedua-dua tertuduh dan mereka adalah warga Malaysia,” kata hakim dalam perintah mahkamah, menurut Bloomberg.
Mahkamah dijangka menjalankan perbicaraan kes terhadap Maran pada 18 Okt ini.
Menurut laporan, pihak penyiasat menggesa mahkamah mengeluarkan 2 waran tangkap selepas saman untuk hadir ke mahkamah tidak dihirau.
Hakim dalam perintahnya menyatakan pihak berkuasa Malaysia tidak mengendah notis saman yang dikeluarkan dan oleh itu satu-satunya pilihan yang ada ialah menggunakan khidmat Interpol dengan mengeluarkan waran tangkap.
Pada Ogos lalu, CBI menerusi mahkamah CBI khas memohon mengeluarkan waran tangkap terhadap Ananda dan Marshall.
CBI juga memohon waran terhadap Maxis Communication Berhad dan Astro All Asia Network PLC.
Keempat-empat mereka didakwa terlibat dalam skandal Aircel-Maxis yang melibatkan Maran dan adiknya Kalanithi Maran.
Pada Ogos 2014, CBI melibatkan adik-beradik Maran, Ananda, Marshall dan 4 syarikat dalam kes itu.
Maran dituduh memberi tekanan kepada ahli perniagaan Chennai, C Sivasankaran menjual kepentingannya dalam Aircel kepada Maxis pada 2006. Ini bagi membolehkan Maxis melabur dalam Sun Direct, syarikat penyiaran milik Maran.
Maxis sebelum ini menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan semua urusannya dilakukan dengan mematuhi undang-undang India pada 2007.
Skandal Aircel-Maxis turut dikaitkan dengan skandal pengubahan wang haram yang dikenali sebagai penipuan spektrum 2G di India yang mana menyebabkan kerajaan India kehilangan USD4.6 bilion. - FMT.