t>

Breaking News

Inilah Nasib Seorang Ibu, Apabila Membela Anak Yang Menjadi Mangsa Seksual, Keluarga Pula Jadi Tukang Kutuk & Tambah Tekanan - Kenapa?

Oleh : Syed Azmi.
 
Seorang ibu telah menjumpai lukisan anaknya. Beliau amat terkejut, namun enggan mempercayai apa yang dilihatnya. Beliau sedar, anaknya yang berusia 10 tahun cuba menyampaikan sesuatu bukan secara langsung (saya pasti) kerana lukisan berkenaan adalah sebahagian dari diari milik anaknya yang terdapat di dalam kotak kristal hasil dari kelas seni. Walaubagaimanapun, beliau mengambil lukisan berkenaan dan berbual dengan anaknya.

Anaknya agak tidak senang duduk bila mendapati ibunya menemui lukisan itu. Menurut anaknya, itu bukanlah lukisan terkini dan enggan berbicara mengenai perkara itu. Si ibu enggan percaya, lalu cuba memaklumkan perkara itu kepada suaminya, namun si suami juga tidak faham. Beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibunya. Ibunya mengambil lukisan tersebut dan tidak pasti sama ada ibunya membuang atau menyimpan lukisan tersebut. Apa yang pasti, beliau tidak akan mendapat semula lukisan itu. 

Beliau menghubungi saya. Saya menyarankannya membuat laporan polis. Namun suaminya tidak bersetuju dan menganggap lukisan itu remeh. Ibunya (nenek kepada anak berkenaan) juga tidak berkata apa-apa. Jadi, mereka buat keputusan untuk melupakan perkara itu. 

Si ibu bagaimanapun telah membuat laporan polis dan berjaya mendapatkan seorang pegawai penyiasat menjalankan siasatan. Ketika sesi soal siasat yang berlangsung selama 5 jam, mereka menemui sesuatu. 

Kanak-kanak perempuan itu akhirnya bersuara dan bertanyakan soalan, "Selamat tak nak cerita di sini?"

Dari soal siasat tersebut, meeka mendapati lukisan itu bukan sekadar lukisan biasa. Sebaliknya kejadian yang benar dan pernah berlaku pada kanak-kanak itu ketika dia berusia 5 tahun, oleh seorang saudara yang rapat dengan keluarganya. 

Polis membuat laporan berdasarkan maklumat terbaru yang diperolehi dan meminta si ibu memberi deskripsi mengenai individu berkenaan. Si ibu kebingungan seketika, beliau kenal individu terbabit dan beri segala maklumat mengenai lelaki itu kepada polis. 

Akhirnya lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan. 

Dalam masa yang sama, keluarga berkenaan menjadi kecoh. Kesemua mereka menyalahkan si ibu kerana membawa kes tersebut kepada pengetahuan pihak polis berbanding menyelesaikan secara dalaman sahaja. Malah, suaminya juga menentang tindakannya itu. 

"Saya dah cakap dah," katanya pada si isteri. 

Si ibu menerima tekanan hebat dari ahli keluarganya sendiri yang memaksanya menarik balik laporan polis yang telah dibuat. Dia menghubungi saya untuk meminta bantuan. Dia juga menghubungi pengawai penyiasat untuk untuk tujuan yang sama. 

Beliau sekali lagi bertanya pada anaknya, "Cakap betul-betul. Siapa buat? Ke A salah cakap?" 

Pada awalnya si anak mengangguk. Namun beberapa kali selepas itu, dia mula meragui dirinya. 

"Tolong saya Syed. Saya nak tarik balik laporan polis dan selesaikan masalah ini dengan keluarga," rayunya. 

"Okay," jawab saya. 


"Cuba terangkan kepada saya bagaimana cara awak nak selesaikan masalah itu?" soal saya lagi. 

Beliau tidak menjawab soalan itu. 

Perkembangan terkini mengenai kes ini? Tiada. Saya biarkan begitu sahaja. Tugas saya hanyalah untuk memastikan si ibu kekal dengan laporan polisnya. 

Hari ini, ada laporan seorang perempuan membuang bayinya sehingga menemui ajal. Gadis itu adalah seorang yang bijak pandai dan mempunyai rekod GGPA yang cemerlang, lalu diberikan peluang kedua. Saya tidak pasti dengan keseluruhan cerita kes tersebut. Itu sahaja fakta yang saya faham dan itupun saya dimaklumkan oleh ibunya. 

Teman lelaki kepada perempuan itu juga adalah seorang pelajar yang cemerlang dan pernah menjadi pelajar contoh. 

"Siapa yang puan lindungi?" soal saya lagi. 

Jawabnya, anaknya. 

"Puan perlukan seseorang untuk berbincang?" soal saya. 

"Saya adalah seorang ibu dan saya tahu apa yang terbaik untuk anak saya," katanya. 

"Puan mahu bercakap dengan seseorang tentang apa yang terbaik untuk puan?" 

"Tak perlu. Saya kebuntuan," katanya. 

Saya juga bercakap tentang teman lelaki anaknya yang mana juga masih di bawah umur ketika perkara itu berlaku. 

"Puan tidak mahu membantunya?"

"Encik Syed, hancur masa depan budak itu kalau saya teruskan! Encik Syed bukan berada dalam situasi saya. Mana Encik Syed faham!" bentak wanita itu. 

Benar, saya bukan berada di tempat puan. Tetapi saya fokus hanya pada anak puan, itu sahaja. Saya faham perkara ini akan menjadi panjang. Tapi tak mengapa. 

"Puan, anak puan tak pernah lupa malah lama benar dia menyimpan cerita ini. Apa maknanya itu?" soal saya. 

"Mungkin dia salah ingat orang" kata si ibu berkenaan. 

Terlalu banyak pihak yang perlu dinyatakan di sini. 

Jadikan ia sebagai satu pengajaran. Gambar berkenaan juga bukanlah gambar sebenar. 

Dalam tugas saya, biarpun tidak sempurna namun saya percaya dengan terus memberitahu kanak-kanak tentang keselamatan sama ada di sekolah, rumah atau mana-mana tempat seperti rumah datuk dan nenek adalah amat penting. Ini memberikan peluang yang lebih baik kepada kanak-kanak. 

Jika mereka faham tentang tempat selamat, sekurang-kurangnya mereka tahu di mana tempat untuk berkongsi tentang masalah yang mereka pendamkan. 

Kedua, ini bukan soal kerahsiaan. Ada rahsia baik dan tak baik. Secara keseluruhannya, kanak-kanak perlu tahu di tempat selamat, mereka selamat untuk bercerita tentang rahsia mereka. 

Akhir sekali, saya percaya dengan gerak hati kanak-kanak. Jika mereka tidak selesa, takut atau yang sewaktu dengannya, mereka akan terus menyatakannya. Dengarlah mereka dan inilah caranya yang akan membuatkan mereka menceritakan semuanya dengan selesa. Berlatihlah untuk menangani pendedahn dari mereka. Tolonglah. 

Dialihbahasa oleh : The Reporter.